" She knows that our ears are stopped; but the misery is there inside her, like a stone, and there’s no room for any other thoughts. She isn’t trying to make an appeal to our sympathies — she’s just shifting this big weight inside her from one place to another." Henry Miller, Tropic of Cancer, pg. 141.

DARAH TETAP MERAH.

Man buka periuk nasi.
Kemudian mak Man jerit dari dapur.
"Boleh makan nasi tu, tu kerak-kerak nasi yang elok, makanlah!"
Man pun makan.
Lagipun Man bukan jenis yang cerewet bab makan.

Tiba-tiba adik Man ke dapur.
Mak sibuk nak goreng nasi.
Man pun pelik.
"Tadi mak tak kisah pun suruh Man makan nasi kerak? Lagipun hari-hari nasi yang bergoreng dorang tak makan pun. Asyik terbuang. Tak usahlah goreng lagi. Nasi ini pun elok. Boleh makan dengan lauk. Man makan 2 kali tambah. Elok je."
Mak marah Man.

Man pelik.
Man salah cakap?

***

Man tak tolong kupas bawang.
Man kalah dengan bawang.
Tak boleh buka mata langsung.
Berjurai air mata macam baru lepas tengok cerita Dilwale.
Man pun lepak dulu.
Nanti tengah malam Man bangun siang ayam.

Mak perli Man.
Man diam je.
Mak kata tangan mak dengan yang lain sakit kupas bawang.
Habis luka sana sini.
Bawang merah okay lagi, tapi bawang putihkan 'tajam'.
Man diam.
Dalam fikiran Man, "Okay nanti Man beli bawang yang dah siap kopek".

Kemudian Man pun belikan.
Mak suka, tapi dalam suka mak perli Man lagi.
Mak tunjuklah tangan dan ulang cerita sama berulang kali.
Kemudian Man pula tunjukkan tangan Man.
Man cakap "Tangan Man pun sakit.Haritu siang ikan tercucuk-cucuk tangan sampai bengkak 3 jari rasa kandung nanah. Berdenyut. Man pulun pula siang sayur sampai 2 pagi. Man tunjuk, tak ada siapa kata kasihan ke apa. Ni pantang orang cakap letih, haritu kata kopek ikan bilis senang je, tapi Man ada mata, Man ada hati, Man tahu Man boleh mudahkan kerja orang. Man pun belikan ikan bilis yang dah kopek. Tak apa Man rugi sikit, asalkan orang tak penat, tak sakit. Ni bawang kupas mahal, tapi Man buat pejam mata. Lepasni Man nak beli ayam dan ikan yang dah siap siang, siap bersihlah."
Kemudian Mak marah Man.
Perli Man.
Man pun terfikir.
Sakit Man tak apa ya?
Rengek Man tak perlu ya?

***

Man tak sangka Man akan kena sebegini dengan mak.
Selama mak susah, Man selalu ada bersama.
Man bagi sokongan moral.
Man tolong mak.
Man ketepikan gelora hati Man sebagai orang muda.
Man ikutkan rentak mak.

***

Masa mula-mula nak mula berniaga,
Semua orang baik dengan Man.
Iyalah, kalau Man tak nak keluarkan duit,
Matilah.

Bila dah mula naik,
Orang dah mula kenal,
Orang yang Man kenal pun mula dah Man tak kenal.
Man cakap dah tak boleh dengar,
Iyalah, sekarang duit Man dah tak banyak,
Ada pula orang lain tawarkan wang lebih daripada apa yang Man ada,
Sekarang ni Man macam invisible.

Tapi semalam Man perli pula mak,
Man cakap, lagi seminggu nak bayar gaji,
Ada sesiapa nak kerja free?
Ada sesiapa nak bantah-bantah lagi?
Duit Man tak cukup ni?
Ada sesiapa nak sedekah kat Man?
Ada sesiapa yang nak membangkah plan yang Man buat?
Ada?

Mak diam.
Semua orang diam.

***

Man pun diam.


***

Sampai masa Man akan pergi.
Man akan pergi jauh bawa diri.
Man dah lama simpan dalam kepala.
Man nak pergi mana.
Man nak buat apa.
Man nak larikan diri lama-lama.
Man tak nak ambil tahu apa-apa.
Man letih.
Man hargai semua yang mak dan orang lain beri.
Man sungguh hargai.
Tapi Man juga manusia biasa.
Ada waktu Man juga bersikap seperti manusia biasa.
Ada kecil hati.
Ada marah.
Ada tersinggung.
Terguris.
Simpan.
Dan sedikit sebanyak,
Man rasa Man macam berdendam.
Darah Man pun merah.
Sama macam darah semua orang.
Tapi kenapa orang expect Man macam malaikat.
Bila Man marah, Man kena hamun balik.
Bila Man diam, Man kena provok.
Man dah tak faham.
Masa Man jauh, semua sayang.
Iyalah, walau dalam jauh Man sering kirim uang.
Sering membantu.
Bila dekat bau minyak wangi Man serupa bau jamban.
Man sedih.
Man bercakap pun tak guna.
Nanti Mak kata, Man mengada-adakan.
Nanti Mak kata, Man fikir bukan-bukan.
Nanti Mak kata, Man ni ___________

***

Mungkin sebab Mak sayang Man sangat jadi Mak rasa Man ni tak punya perasaan rengsa?
Mungkin Mak terlalu bersangka baik dengan Man?
Entah.

Yang pasti Mak tak jahat.
Man?
Iya.

Yang tak sedar diri pun Man.
Man tak boleh lupa.
Setiap kata Man simpan dalam otak.
Dalam ketawa pun boleh teringat.
Man rasa Man kena pergi jauh.
Sesak dada Man membenci dalam sayang ni,Mak.

Darah Man tetap merah.
Tetap reti berasa marah.
Tetap penat bila diperah,
Tetap jelik bila dikerah,
Apatah lagi bila disuruh berserah,
Gilalah Man kalau tak marah apabila ditarah.

Parah.