" She knows that our ears are stopped; but the misery is there inside her, like a stone, and there’s no room for any other thoughts. She isn’t trying to make an appeal to our sympathies — she’s just shifting this big weight inside her from one place to another." Henry Miller, Tropic of Cancer, pg. 141.

APALAH YANG CUBA AKU SAMPAIKAN INI?

Jika semasa kecil, sentiasa dimomok 'bodoh', sukar untuk menjadi dewasa tanpa merasa diri bodoh.
Jika semasa kecil terbiasa senang, amat susah untuk terima hidup 'asal ada cukuplah'.
Jika semasa kecil..ah cukuplah. Kau dah 'dapat' kan?

***

Dalam memasang cita-cita pun ada yang berani memandang serong, seolah tidak cukup dengan lambakan kata-kata yang tidak membantu, mereka juga menabur takut.
Aku suka memandang mereka sambil mengangguk-angguk, senyum sekali sekala, pamerkan juga kerisauan aku sekadar untuk membuat mereka puas.
Supaya mereka berasa cukup.
Supaya mereka berhenti hingga takat itu.

***
Sebenarnya tanpa mereka usahakan, aku sudah cukup penuh dengan rasa was-was, rasa seperti tidak mahu mencuba.
Rasa seperti mahu berhenti daripada melakukan.

***

Tapi dalam hidup ini, walau ramai bagaimanapun orang disekeliling, engkau tetaplah bersendirian.
Maka aculah hidup dan paculah impian ke destinasi yang kau harapkan.

***

Mereka akan datang pabila kau sudah senang.

***

Ketap gigi.

***

Kalau kau terbiasa makan nasi, tiba-tiba tak ada, mau menggigil badan kan?
Kalau kau terbiasa dikeji, tiba-tiba kau meletup, luar biasakah itu?

***

Manusia, aku pun manusia.
Engkau siapa?
Ungka?

***

Dunia ini aneh.
Yang mangsa, dimangsakan.
Yang pemangsa, dibuat juga seperti mangsa.
Oh ya, setiap yang berlaku adalah rentetan daripada sesuatu perkara.
Sebagai contoh, kau mencuri sebab bapak kau penagih dadah. Kau mencuri sebab kau sungguh tiada punya jalan terhormat untuk menyua mulutmu sendiri.
Bapak kau menagih kerana tekanan.
Dan seperti lagu "Bangau oh Bangau" - kita saling menyalahkan 'punca'.
Sedang kita sebenarnya, 'boleh' memilih.
Iya kah?

***

Hidup ini pilihan.
Kau boleh pilih jalan hitam, atau jalan lurus terang benderang.
Kau boleh jadi jahat, atau jadi manusia yang baik.
Kau boleh pilih untuk terus hidup, atau mati.
Tapi hidup atas pilihan kau bukan semudah semasa pilihan itu dibentangkan.

***

Ada perkara yang sebenarnya bukan pilihan.
(Ops, apa yang aku cuba nak katakan ini?)

***

Kita tersekat pada satu senggat.
Kita hidup dalam asakan.
Dalam keterdesakan.
Manusia jenis apa yang akan memilih perapan kehidupan sedemikian rupa?

***

Dan aku memilih untuk berhenti menaip disini.
Atau di sini.
Atau di sini.

***

Di sinilah.